Sejarah Kewujudan Sekolah
SK Temenggong Datuk Muip yang pada mulanya SRK Riam Baru telah memulakan pengambilan murid seramai lebih kurang 30 orang untuk mengisi sebuah kelas tahun satu bagi sesi persekolahan 1987. Tenaga pengajar hanyalah 2 orang diketuai oleh Puan Farida Chai Abdullah. Walaupun bangunan sekolahnya menggunakan bekas pejabat (site office) Kumpulan Syarikat Parabena Namun dari segi kemudahan infrastruktur adalah mencukupi, yang menjadi masalah ialah ketiadaan padang permainan.
Status Penempatan sekolah adalah “menumpang” tetapi warga sekolah ini telah menduduki bangunan ini selama 8 tahun 7 bulan. Kemudian pada 17 oktober 1994, tapak sekolah yang baru mula dibersihkan atas tanah berkeluasan kurang lebih 40 hektar. Daripada 40 hektar ini, 8 hektar telah diperuntukan untuk pembinaan sekolah rendah. Proses pembinaan bangunan baru pun berjalanlah lancar dan siap sepenuhnya pada 31 Mei 1995 beberapa bulan lebih awal.
Pada 8 julai 1995, satu majlis yang penuh bersejarah telah berlangsung iaitu Majlis Penyerahan Bangunan Sekolah daripada kontraktor (PARABENA) kepada Jabatan Kerja Raya dan seterusnya kepada Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada 17 Julai 1995, sekolah ini telah digunakan dengan rasminya oleh seramai 366 orang murid dengan 13 orang guru dan Puan Evelyn Langking sebagai Guru Besar yang pertama sehinggalah beliau bersara pada 22 Oktober 1995. Pada tahun 1996, warga sekolah bertambah pesat dengan jumlah murid seramai 600 orang manakala tenaga pendidiknya berjumlah 21 orang, seorang Pembantu Tadbir, Seorang Perkerja Am Rendah dan seorang pengasuh PRA Sekolah diketuai oleh Encik Amin Raya @ Amin Abdullah yang menjalankan tugas sebagai Guru Besar.
Pada Tahun 1996, sebanyak 13 buah kelas digunakan. Untuk kelas PRA Sekolah, bilik yang digunakan adalah sebuah dan dua buah kelas masing-masing bagi Tahun 1 hingga Tahun 6. Menjelang tahun 1997, pelajar menjangkau 702 orang disamping tenaga pengajar seramai 27 orang. 14 buah kelas diperuntukan untuk bilik darjah termasuk sebuah bilik PRA sekolah. Pechan bilik-bilik ini adalah 3 buah untuk Tahun 1,3 untuk Tahun 2 dan selainnya 2 buah kelas masing-masing.
Guru besar pengganti adalah Puan Maznah Abdullah yang memulakan tugas beliau pada 8 November 1996. Seorang Pembantu Tadbir, seorang Perkerja Am Rendah dan seorang Pengasuh PRA sekolah masih kekal jumlahnya.
Pada Tahun 2009 sekolah ini mempunyai seramai 59 orang tenaga pengajar dan 7 orang kakitangan bukan guru. Sebanyak 29 buah kelas biasa dan 2 kelas Prasekolah dan seramai 1,308 orang pelajar yang terdiri dari beberapa kaum yang tinggal di Sarawak. Sekolah ini terdiri daripada 7 buah blok bangunan dua tingkat manakala blok kantin adalah satu tingkat. kos pembinaan adalah RM 4.7 juta manakala kos perabot sebanyak RM73,518.94. Kantin sekolah ini beroperasi pertama kalinya di bawah seorang penender pada tahun 1996 dan tamat tempoh tendernya pada tahun 1997. Maka tidak hairan mengapa sekolah ini digelar sebagai sekolah model kerana struktur pembinaanya yang menampakan ciri institusi moden.
Sejarah Nama Sekolah
Nama SK Temenggong Datuk Muip diambil sempena memperingati seorang tokoh yang dilahirkan di Miri pada tahun1900 iaitu Temenggong Datuk Muip Bin Tabib P.N.B.S, S.K.N., M.B.E. Anak yang keempat kepada Awang Tabib bin Nakhoda Gapar yang berasal dari Brunei dan ibu beliau Hajijah Binti Khalek yang berasal dari Miri, Beliau berkahwin dengan Raden Dayang Rupiah Binti Abang Abeng yang berasal dari Jawa dan dikurniakan 12 orang anak yang terdiri daripada 5 orang lelaki dan 7 orang perempuan, dari Tahun 914 hingga ke 1930 beliau telah berkerja dengan Sarawak Shell Company Limited di Miri. Beliau adalah seorang tokoh dan Ketua Masyarakat Melayu yang dihormati dan disegani oleh semua kaum-aktif dalam bidang sosial, agama dan politik. 1930,beliau bersama tokoh-tokoh lain menubuhkan PERSATUAN PERSEKUTUAN MELAYU MIRI, seterusnya selaku PENAUNG PMM hinggalah ke akhir hayatnya..
Pada tahun 1935 hingga 1938 beliau menjadi Ahli Jawatankuasa Sekolah Melayu Anchi Miri, Selepas perang Dunia Kedua, dan apabila sekolah Melayu Anchi Miri dibuka semua, beliau dilantik selaku pengerusinya. Pada tahun 1979 apabila bangunan Sekolah Melayu Anchi Miri diserahkan balik kepada Masyarakat Melayu dan Sekolah Agama Rakyat ditubuhkan dan beliau telah dilantik menjadi Pengerusinya. Pada tahun 1937 beliau menubuhkan Persatuan Muslimin Miri dan menjadi Pengerusinya, Persatuan itu dibubarkan dalam tahun 1942. Pada tahun 1946 Persatuan Pemuda Melayu Sarawak dibentuk di Miri, beliau dipilih menjadi Pengerusinya. Pada Tahun 1948 hingga 1951 beliau menjadi Pengerusi Jawatankuasa Masjid Miri dan juga dilantik menjadi Ahli Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri. Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dalam tahun 1958 hingga 1961 dan 1956 hingga 1978 beliau menjadi Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri. Tahun 1960 beliau menjadi Pengerusi Parti Negara Sarawak(PANAS) dan BERJASA dalam tahun 1969 dan tertubuhnya Parti Bumiputra Sarawak beliau telah dilantik menjadi Pegerusi Cawangan Miri, apabila Parti Pesaka Bumiputra Sarawak ditubuhkan dalam tahun 1973, beliau telah dilantik dalam Majlis Kerja Tertinggi(MKT) Parti. Beliau menang dalam Pilihanraya Negeri Sarawak untuk menjadi Kounsel dari tahun 1963 hingga 1980 . Pada tahun 1973 beliau dilantik menjadi Temenggong dan bagi mengenang dan menghargai jasa-jasa beliau yang cemerlang, beliau telah dianugerahkan oleh Baginda Queen Elizabeth II dengan “Pingat Queen Elizabeth Crown EIIR” dalam Tahun 1953 dan pada tahun 1962 beliau juga dianugerahkan oleh Baginda Queen Elizabeth II dengan bintang “Member of British Empire” (MBE). Kerajaan Malaysia juga telah mengurniakan beliau “Sijil Kehormatan Negara (S.K.N)”,” Pingat Penghargaan Negara (P.P.N)” pada tahun 1965 dan pada tahun 1972 Kerajaan Sarawak juga telah mengurniakan beliau dengan “Bintang Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S)” yang membawa gelaran “Datuk”. Beliau telah meninggal dunia pada tahun 1987 ketika itu beliau berusia 87 tahun.
